Sunday, August 30, 2009

Salam Puisi

Salam Puisi. Saya masih menerima pertanyaan mengenai album pertama saya dahulu. Untuk anda, tiada apa yang mampu saya zahirkan melainkan ucapan terima kasih atas sokongan dan penghargaan yang diberikan kepada saya selama ini. Bagi mereka yang ingin memiliki semula album tersebut bolehlah menghubungi saya di email ahmadramli@hotmail.com.

Saturday, August 29, 2009

Puisi: Kekasih

Akan kupintal buih-buih
menjadi tali mengikatmu
akan ku anyam gelombang
menjadi hamparan ranjang tidurmu
akan kutenun awan gemawan
menjadi selendang menudungi rambutmu
akan ku jahit bayu gunung
menjadi baju pakaian malammu
akan ku petik bintang timur
menjadi keronsang menyinari dadamu
akan ku jolok bulan gerhana
menjadi lampu penyuluh rindu
akan ku rebahkan matahari
menjadi laut malammu
menghirup sakar madumu

Kekasih
hitunglah mimpi
yang membunuh realiti
dengan syurga ilusi.

Friday, August 28, 2009

Lagu-lagu Album Puisi KEKASIH

Album "Lagu-lagu Penghayatan Puisi KEKASIH" telah diterbitkan oleh EMI pada tahun 1996 dengan memuatkan 9 buah lagu ciptaan saya yang dipadankan dengan puisi hasil karya penyair tanah air serta sebuah lagu dari filem Gurindam Jiwa. Antaranya ialah:-
  • Kekasih ( Usman Awang )
  • PadaMu Jua(Amir hamzah)
  • Menambat Rakit ( Dato'A.Samad Said )
  • Katakan Padaku ( Latiff Mohiddeen )
  • Monolog Arjuna( Rahim Abdullah )
  • Harga Remaja ( Rahman Shaari )
  • Menunggu Pertemuan (A.Aziz Deraman)
  • Siapakah?(Firdaus Abdullah)
  • Pada Waktu-Waktunya (Darmawijaya)

Penghargaan buat peminat..

Sehingga kini, saya masih dihujani pertanyaan oleh peminat - peminat lagu puisi mengenai album pertama yang saya terbitkan pada tahun 1996 yang lalu. Oleh kerana lagu 'Katakan padaku' puisi hasil karya Latiff Mohidden kerap disiarkan oleh Klasik Nasional, ramai yang bertanyakan di manakah album tersebut boleh di dapati.Saya sendiri tidak terduga setelah hampir 13tahun dipasarkan ianya masih diminati. Saya amat terharu dan tiada perkataan lain yang mampu saya zahirkan selain ucapan terima kasih kerana menghargai kerja - kerja seni saya selama ini. Bagi mereka yang ingin mendapatkan album puisi KEKASIH, saudara bolehlah menghubungi saya di email ahmadramli@hotmail.com. Album Puisi Kekasih tersebut memuatkan 12 buah lagu puisi hasil karya penyair tanahair dan Amir Hamzah, Pujangga Baru.

Thursday, August 27, 2009

Puisi: PadaMu Jua

Habis kikis segala cintaku hilang terbang
pulang kembali aku padaMu seperti dulu
kaulah kandil kemerlap pelita jendela
di malam gelap melambai pulang perlahan
sabar setia selalu
Satu kekasihku
aku manusia
rindu rasa rindu rupa
di mana Engkau
rupa tiada
suara sayup
hanya kata merangkai hati
Engkau cemburu Engkau ganas mangsa aku
dalam cakarMu bertukar tangkap dengan lepas
Nanar aku gila sasar sayang berulang
padamu jua
Engkau pelik menarik ingin
serupa dara di balik tirai
Kasihmu sunyi menunggu seorang diri
lalu waktu
bukan giliranku
mati hari
bukan kawanku.

Puisi: Menambat Rakit

Sesudah demikian lama dicintai
sukarlah dilupakan
Inti pengalaman, kepedihan
akar kerinduan keresahan.
Memang begitu banyak
diperlukan kekuatan
kepangkalan batin rakit ditambatkan
bara kenangan dikuatkan
Akhirnya tak terduga
kekuatan membuak sendiri
dan disedari semua takkan sampai
ke dasar inti
Tiada lagilah bezanya sama ada hilangnya kemudian atau tenggelamnya sekarang
Tiada juga bezanya , jika ia langsung tak datang atau tiba-tiba terkorban
Kepiluan yang berlanjut akhirnya, ditenterami keyakinan,
betapa dielak pun takdir
tetap terbuka pintunya
bertanya: manusia, engkau ini sebenar-benarnya siapa..
~A. Samad Said (1985 )

Puisi: Kita Ini Tetamu Senja

Kita datang ini hanya sebagai tetamu senja
Bila cukup detik kembalilah kita kepadaNya
Kita datang ini kosong tangan kosong dada
Bila pulang nanti bawa dosa bawa pahala

Pada tetamu yang datang dan kenal jalan pulang
Bawalah bakti mesra kepada Tuhan kepada insan
Pada tetamu yang datang dan lupa jalan pulang
Usahlah derhaka pula kepada Tuhan kepada insan.
Bila kita lihat manusia lupa tempat
Atau segera sesat puja darjat puja pangkat
Segera kita insaf kita ini punya kiblat
Segera kita ingat kita ini punya tekad
Bila kita lihat manusia terbiar larat
Hingga mesti merempat ke biru laut ke kuning darat
Harus kita lekas sedar penuh pada tugas
Harus kita tegas sembah seluruh rasa belas
Kita datang ini satu roh satu jasad
Bila pulang sekali bawalah bakti padat berkat

A. Samad Said

Salam Puisi



Salam sejahtera dan salam puisi. Walaupun sudah lama saya tidak merakamkan lagu - lagu puisi untuk di albumkan, saya masih aktif berkarya dan kerap menerima undangan di seluruh negara. Terkini, saya baru selesai merakamkan klip video untuk sebuah rancangan terbitan tv tempatan yang dibuat khusus untuk Sasterawan Negara Dato' A.Samad Said. Saya menyanyikan dua buah lagu puisi Pak Samad iaitu sebuah lagu baru "Kita Ini Tetamu Senja" dan "Menambat Rakit" dari album saya. Walaupun lagu menambat rakit dirakamkan 13 tahun yang lalu, namun ianya masih diminati sehingga kini. Terima kasih kepada peminat - peminat lagu puisi yang terus memberikan sokongan kepada saya.

Empat klip video yang lain juga telah selesai dibuat pengambaran di Kuala Lumpur untuk Muzik Aktif saluran Astro dengan lagu-lagu puisi ; Katakan Padaku, Padamu Jua, Monolog Arjuna dan Aku Mencari Damai Abadi. Semoga akan terhibur semua peminat sekalian.


Ahmad Ramli